Pertama Kali Membeli Rumah? Mungkin Kondo Paling Ideal untuk Anda!

Seronok ke duduk rumah kondominium? Mestilah seronok.

Selesa dan memudahkan!

Apa pendapat anda?

Sebenarnya, banyak kelebihan yang kita boleh dapat sekiranya kita sudah bercadang untuk membeli atau menyewa rumah jenis kondominium sebagai rumah pertama. Sebab itu juga ramai pembeli rumah di Malaysia pada zaman sekarang tertarik nak beli rumah jenis kondo ni.

Salah satu kelebihan yang saya pasti ramai orang sudah perasan, iaitu lokasi kondominium yang selalunya sangat strategik. Dekat dengan kedai, klinik dan lain-lain. Kalau untuk mereka yang tinggal di bandar, sangat memudahkan, betul? Sebab anda dah tak perlu lagi nak memandu jauh-jauh lagi untuk ke kedai. Selain dapat menjimatkan tenaga, anda juga dapat jimat masa kerana tak perlu nak menghadapi kesesakan trafik untuk membeli barangan dapur atau bahkan keperluan harian anda. Lebih-lebih lagi di kawasan bandar besar seperti di Kuala Lumpur!

Tambahan pula, kondo juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan fasiliti. Kalau nak kira-kira, memang lagi jimat wang sebab yuran-yuran dekat luar lagi mahal tau sebenarnya. Tapi, sewa kita biasanya dah termasuk sekali dengan akses kepada kemudahan-kemudahan itu.

Lagipun, ruang kondo pun taklah terlalu besar atau kecil. Senang untuk anda mengemas, senang untuk menghias. Betul tak? Sesuailah kalau keluarga anda kecil atau anda baru nak memulakan hidup bersama pasangan anda di rumah baharu.

Kondominium untuk Pembeli Rumah Pertama di Malaysia

baca untuk maklumat lanjut untuk tahu rumah yang sesuai dengan anda untuk membeli rumah tersebut

Tak semestinya rumah pertama mesti rumah bertanah! Sekarang memang rumah kondo dah jadi trend di Malaysia. Lihatlah, sekarang bilangan kondo pun sudah semakin meningkat di pusat-pusat bandar seperti di Lembah Klang dan Kuala Lumpur. Jadi, kalau ini merupakan kali pertama anda ingin mencari rumah, apa kata anda pertimbangkan kondominium?

Sebelum itu, jom kita bandingkan dahulu perbezaan pangsapuri (apartment) dengan kondominium? Senanglah nanti kalau anda nak buat pilihan yang paling sesuai dengan gaya hidup anda. Kemudian, mari kita lihat juga kelebihan memiliki rumah kondo, dan kekurangan yang anda perlu pertimbangkan terlebih dahulu sekiranya anda ingin memiliki rumah jenis kondo untuk rumah pertama anda.

 

Kandungan

  1. Sesuaikah Rumah Kondominium untuk Anda?
  2. Apakah Perbezaan antara Pangsapuri dengan Kondominium?
  3. Kelebihan dan Kekurangan Membeli atau Menyewa Kondominium

 

1. Sesuaikah Rumah Kondominium untuk Anda?

anda boleh mampu milik untuk membeli rumah pertama tips beli rumah pertama untuk membeli rumah tersebut

Kondominium, atau singkatannya kondo ialah kompleks perumahan yang setiap unitnya dimiliki secara perseorangan, tetapi ada beberapa bahagian tertentu yang perlu dikongsi bersama penghuni lain. Di Malaysia, kondominium sering dilihat sebagai simbol kemewahan.

Jika anda bercadang untuk menyewa unit kondo di Malaysia, anda perlu menyewa terus dengan pemilik unit kondo tersebut. Namun begitu, sekiranya anda bercadang untuk memiliki rumah jenis kondo pula, dengan erti kata lain, membeli rumah kondo, anda merupakan orang yang bertanggungjawab untuk perkara-perkara yang melibatkan unit anda. Contohnya seperti penyelenggaraan dan pembaikan.

Sebagai pemilik juga, anda juga perlu membayar yuran tetap kepada persatuan kondo. Yuran itu nanti akan disumbangkan sekiranya terdapat penyelenggaraan untuk kawasan dan kemudahan umum, mahupun bahagian luar kondo. Kiranya, anda dah tak perlu risau lagi sebab kondo anda akan sentiasa terjaga.

Harga permulaan RM400k dikira mampu milik juga untuk sebuah unit kondominium mewah di Malaysia. Ada juga harga RM300k-RM500k bagi sebuah unit, tapi maklum sajalah kalau dah namanya kondo mewah, lagi-lagi dengan fasiliti megah seperti kolam renang infinity yang selalu kita nampak di Instagram – memang melangitlah harganya!

2. Apakah Perbezaan antara Pangsapuri dan Kondominium?

Anda tahu bahawa kondo dan pangsapuri mempunyai beberapa persamaan, tapi anda tak tahu nak bezakannya?

Tak mengapa!

Kami akan bantu anda dengan memberikan beberapa perbezaan kritikal antara keduanya supaya anda lebih jelas. Khususnya dari aspek pemilikan, cara dikendalikan, cara diuruskan dan juga kos yang terlibat untuk memiliki rumah jenis kondo. Teruskan membaca untuk mengetahui perbezaannya!

Pemilikan Kos Penyelenggaraan
Kondo Unit Gadai janji/Cukai/ Sewa bulanan Dalam unit
Pangsapuri Tiada Sewa bulanan Tiada

Pemilikan – Lazimnya, bangunan pangsapuri dimiliki oleh syarikat pengurusan hartanah. Kondo pula dimiliki oleh individu mengikut unit. Penghuni kondo tidak berurusan dengan pengurus hartanah, tetapi mereka membentuk satu persatuan kondominium. Tujuannya untuk mengutip yuran bagi menampung kos penyelenggaraan kawasan umum kompleks kondo masing-masing.

Peraturan dan tanggungjawab – Peraturan pangsapuri ditetapkan oleh pengurus hartanah dan tertakluk untuk semua penyewa. Bagi kondo pula, peraturan ditetapkan oleh persatuan kondo sendiri. Lembaga pengelola kondo pula dianggotai oleh pemilik unit dalam kompleks itu sendiri.

Kos – Pemilik kondo harus memikirkan tentang pelbagai perbelanjaan. Contohnya seperti bayaran gadai janji, yuran kondo atau cukai harta. Sebagai penyewa, kadang-kadang kita tak nampak perbezaan yang ketara antara sewa pangsapuri dengan sewa kondo, tapi biasanya kita perlu bayar sewa yang lebih tinggi untuk kondo. Selain itu, pemilik unit juga mungkin ada meletakkan tanggungjawab kepada anda seperti bayaran kemudahan, yuran persatuan kondo, atau mereka mungkin menaikkan sewa anda untuk menampung kos tersebut. Dalam hal ini, anda perlu rujuk semula surat perjanjian anda dengan teliti.

Kemudahan – Kedua-dua kondo dan pangsapuri mungkin menyediakan kemudahan yang sama dalam sesebuah komuniti. Namun, keselesaan dan keselamatan yang ditawarkan mestilah tidak sama. Bergantung juga kepada lokasi dan jumlah bayaran yang dikenakan kepada anda.

Contohnya, kondo atau pangsapuri dengan pengurusan yang sangat bagus atau dengan bayaran yang lebih mahal mungkin akan menawarkan gimnasium yang lebih lengkap, kolam renang yang lebih besar atau keselamatan yang lebih ketat untuk menjaga kesejahteraan para penghuni. Sesuailah dengan harganya, kan?

Penyelenggaraan – Pemilik kondo biasanya bertanggungjawab untuk sebarang penyelenggaraan atau pembaikan yang diperlukan dalam unit mereka, tak kiralah mereka menyewakannya atau tinggal sendiri di unit tersebut. Tetapi di pangsapuri pula, terdapat kakitangan yang mahir dalam penyelenggaraan yang boleh membantu anda. Secara tidak langsung, anda juga perlu menunggu giliran rumah anda. Namun di kondo pula, tiada kakitangan penyelenggaraan dan anda perlu berbincang dengan pemilik unit anda. Boleh jadi lebih cepat dan lebih mudah untuk berurusan terus dengan mereka.

3. Kelebihan dan Kekurangan Beli/Sewa Rumah Kondo

 

Kelebihan Membeli atau Menyewa Kondominium

Kondominium merupakan pilihan terbaik untuk mereka yang tidak memerlukan ruang besar, warga emas yang ingin elak melakukan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembeli rumah yang sedang mencari rumah di kawasan bandar buat kali pertama. Berikut antara kelebihan-kelebihan yang anda boleh dapat:

Kemudahan tambahan – Bergantung kepada kompleks, anda mungkin mendapat akses kepada kolam renang, taman permainan dan kawasan letak kereta. Selalunya, persatuan kondo sentiasa memastikan kemudahan awam ini dalam keadaan yang baik, jadi anda tidak perlu bersusah-payah untuk menjaganya.

Kurang kerja penyelenggaraan – Rumah jenis kondo adalah popular dalam kalangan mereka yang inginkan kebebasan memiliki rumah, iaitu rumah yang sesuai untuk keluarga, bukan orang bujang sahaja. Contohnya, jika anda masih mahukan rumah yang ada halaman dengan rumput, tapi anda pula tiada masa untuk memotong rumput. Kondo adalah sangat sesuai untuk anda!

Mampu milik – Kebiasaannya, kondo adalah lebih murah berbanding rumah bertanah. Jadi, sesuailah sekiranya anda merupakan pembeli rumah pertama dengan gaji sederhana. Walaupun anda perlu mengambil kira juga yuran persatuan kondo, kadang-kadang jumlahnya lebih berpatutan berbanding rumah bertanah. Kalau anda pernah teragak-agak untuk memiliki rumah bertanah kerana kosnya yang tinggi, mungkin kondo lebih sesuai dengan bajet anda.

Kekurangan Membeli atau Menyewa Kondominium

Sama juga untuk mana-mana pembelian rumah, tidak kiralah rumah kondo atau rumah bertanah, kita perlu mempertimbangkan beberapa perkara sebelum membeli. Jika anda tahu anda tidak mampu nak membayar kos atau yuran tambahan, iaitu selain daripada kos gadai janji atau anda jenis yang tak boleh ikut peraturan yang ditetapkan oleh sesebuah komuniti, mungkin kondominium tidak sesuai untuk anda.

Yuran dan peraturan oleh persatuan kondominium – Ketika anda membeli sesebuah kompleks bangunan, anda juga termaktub dengan peraturan yang ditetapkan oleh persatuan kondo tersebut. Contohnya, larangan untuk memelihara haiwan peliharaan dan menyewakan unit anda. Selain itu, anda perlu membayar yuran bulanan untuk penyelenggaraan kawasan umum dan bangunan. Yuran ini pula berbeza-beza bergantung kepada lokasi dan saiz kondo yang anda miliki.

Keluasan per kaki persegi kecil – Keluarga yang besar atau mereka yang gemarkan ruang luar di rumah mereka tidak sesuai untuk rumah kondo. Mereka mungkin akan berasa sesak tinggal di dalam kondo. Hal ini kerana, unit kondo tiada ruang luar peribadi, dan mereka mungkin perlu berjalan sedikit untuk mencari taman permainan atau ruang letak kereta.

Kurang privasi – Memandangkan kita perlu berkongsi ruang, kita juga perlu bertahan dengan bunyi-bunyi bising, terutamanya di ruang umum. Persatuan kondo juga mungkin meletakkan had tempoh untuk tetamu singgah di unit kita.

Kelebihan dan kekurangan untuk membeli kondominium ini semestinya bergantung kepada lokasi dan jenisnya. Begitu juga saiz kompleks dan jenis penyewa unit.

Selamat datang ke rumah baharu anda!

Tak kira apa-apa jenis rumah pun yang anda ingin miliki, anda mesti memohon pinjaman perumahan terlebih dahulu. Anda pasti akan berasa lebih yakin untuk membeli rumah pertama anda selepas mendapatkan kelulusan untuk pinjaman perumahan!

Tambahan pula, penjual akan meletakkan keutamaan untuk anda berbanding pembeli lain jika mereka tahu anda mampu dan telah mendapatkan pinjaman rumah terlebih dahulu. Jadi, anda boleh tawarkan harga anda dan mendapat harga rumah pertama anda pada harga yang lebih rendah. Harga yang ditawarkan oleh penjual juga lebih berpatutan!


Anda masih mencari rumah pangsapuri atau kondominium yang paling sesuai untuk anda dan pasangan anda? Kami boleh bantu merealisasikan impian anda! Dapatkan nasihat kami segera!

Related posts

Cara Guna KWSP Online Untuk Beli Rumah Tahun 2022

Sara

Lexis Hibiscus 2, Resort Mewah Bertaraf 5 Bintang Dibuka 2024!

syakirah

Nak cari ruang kerja bersama yang best? Tengok dulu 7 perkara ini!

syakirah