All Bahasa Melayu

EMOSI vs ILMU

Ditulis oleh: Sani Said

Pelabur Hartanah kena bijak buat keputusan

Manusia kerap dikuasai emosi ketika membuat pelbagai keputusan dalam kehidupan seharian mereka. Sama ada sedar atau tidak, kadangkala kita menjadi mangsa kepada emosi kita sendiri.

Contohnya, disebabkan emosi mengatakan makanan yang terhidang depan mata kita amat sedap, maka kita membuat keputusan untuk makan sebanyak mungkin semata-mata untuk memenuhi kehendak emosi.

Akibat terlalu ikut emosi, akhirnya tanpa sedar, kita sebenarnya telah menyebabkan tubuh badan kita terpaksa menanggung kesan buruk makan terlalu banyak.

Sebenarnya, keadaan yang sama berlaku pada ramai orang ketika membuat keputusan untuk membeli rumah atau hartanah. Disebabkan terlalu mengikut kehendak emosi, kita cenderung untuk membuat keputusan yang salah dalam membeli hartanah, sama ada untuk kediaman sendiri, mahupun untuk tujuan pelaburan.

Nak rumah besar, unit tepi, pemandangan cantik, ikut kehendak keluarga, nak berjiran dengan rakan dan banyak lagi faktor emosi lain yang telah mendorong ramai orang tersalah membuat keputusan dalam membeli hartanah, dan akhirnya mereka sendiri yang terpaksa menanggung beban hutang tinggi.

Dalam tulisan kali ini, saya ingin menjadikan pengalaman saya sendiri sebagai contoh klasik menjalankan urusan jual-beli hartanah dalam dua keadaan berbeza; membeli berlandaskan emosi dan membeli dengan ilmu pengetahuan.

Padah salah langkah

Pada 2004, tanpa sebarang pengetahuan atau ilmu dalam selok-belok jual beli hartanah, saya telah membuat keputusan untuk membeli rumah pertama.

Tanpa mengambil kira kedudukan kewangan semasa peribadi, kos pendahuluan untuk membuat pembelian (entry cost), kemampuan untuk membayar ansuran bulanan , kuasa memegang (holding power), exit plan, krediliti pemaju perumahan, lokasi hartanah dan sebagainya, saya membuat keputusan untuk membeli hartanah tersebut semata-mata kerana mengikut keputusan beberapa orang rakan sekerja yang membeli rumah di kawasan perumahan berkenaan.

Saya membeli sebuah rumah teres setingkat, bersaiz 22’×70’. Kedudukan unit itu berhadapan dengan padang permainan, tapi terdapat sebuah pencawang elektrik di depan rumah. Lokasinya kira-kira 15KM dari tempat kerja. (Memang agak jauh, tapi menurut kata kawan-kawan, yang penting dapat beli rumah teres [Landed] dengan harga yang ‘berpatutan’).

Rumah tersebut saya beli dengan harga RM130,000. Pembiayaan 100% daripada sebuah bank yang mengenakan kadar keuntungan (interest) yang agak tinggi ketika itu. Saya menandatangani Dokumen Perjanjian Pembiayaan (Loan Agreement [LA]) dengan komitmen bulanan hampir RM1,000 sebulan.

Dengan menandatangani Perjanjian Jual Beli (Sales & Purchase [SPA]) dan LA untuk memiliki rumah tersebut, kedudukan kewangan peribadi saya terjejas agak teruk. Wang simpanan habis, kemampuan membuat simpanan bulanan menurun, malah kadang-kadang tidak mampu langsung untuk menyimpan.

Lebih malang lagi, rumah yang saya beli pada ketika proses pembinaannya sudah mencapai tahap 70% siap, tiba-tiba diisytiharkan terbengkalai. Akhirnya, saya terpaksa membayar ansuran bulanan kepada pihak bank, pada masa sama saya terpaksa terus menyewa rumah lain.

Memang ia satu pengalaman yang amat menyakitkan, tapi itulah harga yang terpaksa dibayar apabila membuat keputusan membeli semata-mata mengikut emosi. Saya amat yakin ramai dalam kalangan anda juga pernah atau sedang mengalami keadaan yang sama.

Lengkapkan diri dengan ilmu

Nasihat saya kepada mereka yang tidak pernah mengalami masalah yang sama, pastikan keputusan untuk membeli hartanah anda dilakukan dengan berlandaskan ilmu pengetahuan.

Jika anda tidak mampu untuk menguasai ilmu hartanah, saya nasihatkan anda gunakan sepenuhnya kemahiran Real Estate Negotiator (REN) untuk memberi khidmat nasihat profesional mereka bagi memastikan anda membuat keputusan pembelian yang tepat dan menguntungkan.

Berkaitan bayaran khidmat profesional REN, anda tak perlu risau, kerana mereka tak akan kenakan sebarang bayaran kepada anda kerana REN biasanya dibayar oleh penjual atau pemaju selepas urusan jual beli anda selesai.

Saya katakan begitu kerana pengalaman membeli rumah yang kedua ternyata berbeza, sekali gus dapat mengubat ‘sakit’ yang dialami ketika pengalaman membeli rumah pertama dulu.

Kali ini saya cuba mendalami ilmu tentang hartanah. Memang agak payah, kerana lebih 10 tahun yang lalu ‘Encik Google’ masih kurang memaparkan maklumat tentang hartanah. Jadi saya terpaksa bertanya kepada ramai orang dan jabatan untuk mendapatkan maklumat.

Akhirnya, saya bertemu dengan seorang REN. Dia beritahu saya dia boleh membantu saya mendapatkan sebuah rumah yang memenuhi keperluan saya dan pada masa sama mampu menjadi instrumen pelaburan untuk jangkamasa panjang.

Brainwash

Dia mencadangkan saya melabur untuk sebuah Services Apartmrnt. Pada mulanya saya agak keberatan kerana saya masih berfikiran tipikal ketika itu. Masih berharap dapat duduk di rumah landed (Boleh tanam bunga dan sayur tepi rumah ‘konon’).

Tapi setelah dinasihat (Brainwash)  oleh REN berkenaan dan berbekalkan maklumat serta pengetahuan yang saya kumpul daripada pelbagai sumber, saya bersetuju untuk melabur di satu unit kediaman atas tangan orang (subsale) bersaiz 1004 kaki persegi, dengan harga RM170,000.

Walaupun terpaksa membayar ansuran pembiayaan lebih kurang RM1,000 dan membelanjakan  RM40,000 untuk kerja ubahsuai unit tersebut, tapi cadangan REN berkenaan supaya saya memilih kediaman tersebut amat saya hargai.

Kedudukannya amat strategik; hanya 1km dari Plaza Tol PLUS Highway, 3km ke pusat bandar dan 2km sahaja ke tempat kerja saya. Amat memudahkan aktiviti harian saya.

Pada masa sama, pelbagai kemudahan yang disediakan di apartmen itu membuat saya rasa sangat berpuas hati. Kawalan keselamatan 24 jam, kolam renang, gym, kawasan permainan kanak-kanak, penyelenggaraan yang baik, semuanya ternyata berjaya mengubah persepsi saya terhadap kediaman bertingkat. Malah paling mengujakan, saya masih boleh menanam sayur dan pokok bunga di balkoni. (satu bonus untuk saya).

Bagaimanapun, paling menggembirakan saya apabila nilai hartanah yang saya beli itu telah meningkat lebih sekali ganda dalam masa hanya 5 tahun. Dalam tempoh seminggu daripada tarikh diiklankan, saya berjaya menemui individu yang sanggup membeli pada harga RM400,000.

Berdasarkan dua pengalaman berbeza yang saya kongsikan dengan anda semua ini, saya yakin pelaburan dalam bidang hartanah adalah satu pelaburan yang amat berpotensi untuk memberi keuntungan yang besar untuk jangkamasa panjang.

Tapi anda harus ingat, melabur perlu dengan ilmu dan persediaan yang cukup daripada segi kewangan dan mental. Pada masa sama, anda perlu mempunyai lingkungan (circle) yang lengkap untuk membantu anda membuat pelaburan yang tepat.

Apakah circle yang saya maksudkan? Kalau nak tahu, ikuti tulisan saya seterusnya.

_____________________________________

Berminat untuk menceburi bidang hartanah? Ingin mencari sumber kewangan yang lebih lumayan dan berpeluang untuk berjalan ke serata dunia? Sertai kami sekarang : https://www.iqiglobal.com/join-iqi

 

 

 

 

 

 

Related posts

9 Things You Must Know Before Buying Property in Dubai

Aliaa

การซื้อบ้านหลังแรกให้อยู่ในงบประมาณ (สิ่งที่ต้องรู้สำหรับชาวมิลเลนเนียลส์)

Azzam

MM2H has changed in 2019. How does it affect you?

Aliaa