All Bahasa Melayu

6 Cara Menjana Pendapatan Dengan Hartanah

Ditulis oleh: Naroswati Naib 

Ya, kita boleh jana pendapatan dengan pelaburan hartanah. Tapi, perlu ingat, It’s a marathon, not a sprint…

Pelaburan hartanah adalah satu pelaburan untuk jangka masa panjang. Samalah keadaannya jika kita menanam pokok. Pokok durian misalnya, kita perlu semai benihnya dahulu, kemudian siram dan baja secara konsisten, barulah pokok tersebut berupaya membesar dengan jayanya.

Pun begitu, sepanjang tumbesarannya, pokok tersebut berkemungkinan diserang dengan pelbagai penyakit atau musuh, lalu rawatan pemulihan mestilah diberikan segera untuk memastikan tumbesaran pokok tersebut tidak terbantut dan dapat mengeluarkan buah yang banyak serta berkualiti.

Keseluruhan proses penanaman pokok durian daripada anak benih hinggalah berbuah akan mengambil masa lebih kurang lima tahun. Namun sekarang dengan bantuan teknologi terkini dan baja yang bagus, dalam tempoh 30 bulan sahaja pokok durian sudah boleh berbuah. Begitu jugalah keadaannya bagi pelaburan hartanah. Melabur dalam hartanah memerlukan satu tempoh yang agak panjang sebelum dapat menuai hasil yang lumayan.

Hartanah anda, pilihan anda.

Dalam pelaburan hartanah, ada beberapa cara boleh anda lakukan untuk jana pendapatan daripadanya.

1. Flipping

Flipping ialah satu kaedah pelaburan hartanah di mana pelabur beli hartanah dan kemudian jual kembali untuk mendapatkan keuntungan. Biasanya untuk flipping ada beberapa pilihan.

a) Bawah harga pasaran

Beli hartanah pada harga yang rendah iaitu di bawah harga pasaran dan kemudian

jual. Contohnya, jika anda membeli rumah yang harga pasarannya RM300,000 tetapi anda boleh

dapatkannya pada harga yang rendah iaitu 20% kurang daripada harga pasaran, maknanya anda beli pada harga RM240,000. Hasilnya, anda sudah untung sebanyak RM60,000 ketika membeli.  

b) Rumah lelong

Biasanya rumah lelong harganya jauh lebih murah daripada harga pasaran. Hal ini kerana rumah tersebut dijual seadanya (as it is). Pelabur hartanah yang ingin membeli rumah lelong dinasihatkan agar membeli rumah lelong yang sekurang-kurangnya 30% rendah daripada harga pasaran kerana selepas dibeli, pelabur perlu membaik-pulih rumah tersebut terlebih dahulu sebelum dijual semula mengikut harga pasaran.

c) Rumah daripada pemaju

Biasanya pelabur yang memilih untuk membeli rumah daripada pihak pemaju akan membeli rumah sebelum majlis pelancaran sesuatu projek itu kerana ketika itu harga rumah masih murah dan ada kalanya boleh dapat diskaun atau rebat yang banyak. Menjelang rumah siap, harganya sudahpun meningkat paling kurang 10% daripada harga semasa dibeli. Maknanya, jika rumah tersebut dijual sebaik sahaja dapat kunci, secara automatik pelabur akan dapat keuntungan.

2. Sewa

Ada juga pelabur hartanah dapatkan pendapatan mereka daripada hasil sewa. Dalam bab sewa ini sebenarnya ada dua cara sewaan.

a) Jangka panjang

Sewaan jangka panjang ialah sewaan untuk tempoh sekurang-kurangnya setahun. Sewaan jangka panjang juga boleh dibahagikan kepada tiga cara iaitu sewa keseluruhan rumah, sewa bilik dan sewa mengikut kepala (individu). Di antara ketiga-tiga cara ini, sewa mengikut kepala adalah yang paling tinggi pulangannya.

Selain daripada tiga cara yang disebutkan tadi, ada juga sewaan jangka panjang yang dikenali sebagai sublet. Maknanya, ada penyewa yang sewa hartanah anda dan kemudian dia sewakan semula hartanah anda kepada orang lain. Misalnya, Encik A sewa rumah anda kemudian dia sewakan rumah tersebut kepada beberapa pelajar kolej berhampiran. Biasanya, Encik A akan sewa rumah kosong dan kemudian dia akan lengkapkan dengan perabot dan keperluan lain sebelum disewakan semula kepada individu yang berminat.

b) Jangka pendek

Inap desa (homestay) dan Airbnb adalah contoh sewaan jangka pendek. Biasanya untuk sewaan jangka pendek ini, para pelabur perlu tambahan ilmu bagi memastikan pelaburan mereka mampu menjana pendapatan yang berbaloi. Hal ini kerana untuk memastikan homestay mereka laku atau sentiasa penuh, banyak perkara mereka kena tahu. Contohnya, apakah saluran yang terbaik untuk dapatkan tetamu? Apakah kelengkapan yang mesti ada dalam rumah inap mereka?; dan bagaimana menguruskan akaun agar boleh dijadikan portfolio kewangan yang baik?

3. Capital Appreciation

Ada juga pelabur hartanah yang memilih untuk beli, simpan dan jual. Mengikut Rule of 72, harga hartanah akan meningkat sekali ganda dalam tempoh 10 tahun. Jadi, mereka hanya akan jual hartanah yang dibeli selepas harga pasaran hartanah tersebut meningkat seperti yang mereka inginkan. Ini adalah cara yang paling mudah. Pun begitu, pelabur yang memilih kaedah ini mesti mempunyai modal yang besar kerana perlu bertahan selama beberapa tahun sebelum satu-satu hartanah itu sesuai dijual.

4. Pembiayaan semula

Ada sesetengah pelabur hartanah gunakan hartanah yang mereka ada sebagai simpanan ataupun modal untuk dapatkan sejumlah wang bila tiba masanya nanti. Misalnya, jika mereka ingin kembangkan bisnes dan perlukan modal, mereka akan refinance hartanah yang ada. Jadi mereka tidak perlu pening kepala memikirkan mana nak dapat modal.

5. Joint Venture

Ini adalah cara menjana pendapatan bagi pelabur hartanah yang melabur dalam hartanah berbentuk tanah. Tanah yang mereka ada boleh digunakan sebagai modal untuk menambah pendapatan dengan usaha sama dengan pihak pemaju. Biasanya untuk projek joint venture atau JV ini, cara pembahagian keuntungan adalah subjektif bergantung pada persetujuan kedua-dua belah pihak. Apapun, yang nyatanya pelaburan ini boleh memberi pendapatan yang lumayan.

6. Pecah Lot

Selain daripada joint venture, pecah tanah yang bersaiz besar kepada lot-lot yang lebih kecil adalah antara cara yang popular untuk menjana pendapatan bagi pelabur hartanah yang melabur dalam hartanah berbentuk tanah. Pun begitu, cara ini akan mengambil masa yang agak lama kerana perlu mendapat kelulusan daripada pihak Kerajaan Negeri. Dalam masa yang sama, modal yang diperlukan juga tinggi.

Hakikat pelaburan

Jana pendapatan daripada pelaburan hartanah nampak mudah, tapi realitinya tidak. Untuk memastikan setiap pelaburan anda mendatangkan keuntungan lumayan, banyak perkara perlu tahu. Antaranya ialah kos-kos yang perlu dikeluarkan sebagai seorang pelabur.

Nota: Dapatkan penjelasan lanjut tentang kos-kos tersebut dalam artikel minggu hadapan.

_____________________________________

Berminat untuk menceburi bidang hartanah? Ingin mencari sumber kewangan yang lebih lumayan dan berpeluang untuk berjalan ke serata dunia? Sertai kami sekarang : https://www.iqiglobal.com/join-iqi

 

Related posts

9 Things You Must Know Before Buying Property in Dubai

Aliaa

การซื้อบ้านหลังแรกให้อยู่ในงบประมาณ (สิ่งที่ต้องรู้สำหรับชาวมิลเลนเนียลส์)

Azzam

MM2H has changed in 2019. How does it affect you?

Aliaa